Peta Pelancongan Port Dickson




Sejarah Port Dickson



Port Dickson mendapat nama dari pegawai tinggi British bernama Sir John Frederick Dickson yang telah ditempatkan di Negeri-negeri Selat semasa akhir abad ke-19. Sebelum tempat ini dibangunkan dan dimajukan ianya dikenali dengan nama Tanjung oleh orang Melayu tempatan kerana kedudukannya di teluk kecil. Orang Cina dan India tempatan pula menamakan tempat ini sebagai Alang atau Arang oleh kerana berhampiran dengan teluk tersebut terletak sebuah pulau yang terkenal dengan pengeluaran arangnya dan membekalkannya kepada kawasan berhampiran.

Setelah menyedari Arang mencapai kemajuan yang pesat sebagai kawasan perindustrian dan Tanjung sebagai kawasan bandar yang membangun dengan cepatnya, Setiausaha Negeri-negeri Bersekutu Selat, Sir John Frederick Dickson, terus mewartakan supaya Tanjung dijadikan sebuah pelabuhan yang strategik dan juga menjadikannya sebagai tempat istirehat untuk pegawai dan peladang British.

Pembangunan pelabuhan itu juga membolehkan orang-orang British mengambil kesempatan dari perniagaan rempah, teh dan sutera yang menguntungkan antara India dan China. Aktiviti perdagangan yang sibuk antara peniaga dua negara tersebut menonjolkan Selat Melaka sebagai satu tempat perhentian yang sesuai dan praktikal kerana kedudukannya di pertengahan perjalanan bagi saudagar-saudagar kapal itu.

Bagi melengkapi keberkesanan pelabuhan baru ini, berikutnya pada tahun 1891, satulandasan kereta api sepanjang 39km telah dicadangkan untuk menghubungkan Tanjung dan Sungai Ujong yang sekarang dikenali sebagai Seremban. Pelan yang dirangka membolehkan pelbagai jenis barangan yang dibawa oleh kapal niaga seperti rempah-ratus, beras, ubi kayu diangkut melalui keretapi dari pelabuhan ke Sungai Ujong.

Lagipun, telah dipastikan bahawa landasan kereta api dan pelabuhan laut dalam memainkan peranan penting untuk mengembangkan perdagangan untuk mengeksport timah dari lombong di Sungai Ujong. Untuk memudahkan pembinaan landasan ini, pihak British membawa masuk tenaga buruh dari India. Dengan usaha yang gigih maka landasan itu telah siap dan dirasmikan oleh Setiausaha Negeri-negeri Bersekutu, Sir John Frederick Dickson. Dengan perasmian landasan kereta api itu, pihak British juga telah menukarkan nama tempat tersebut dari Tanjung menjadi Port Dickson. Sejak dari itu, nama itu telah menjadi sebutan orang ramai di Malaysia malah seluluruh dunia.

Sejak mula beroperasi sebagai pelabuhan laut dalam, Port Dickson telah mencapai kejayaan yang cemerlang. Pada tahun 1893 sahaja 600 kapal dari Singapura dan Port Klang berlabuh di Port Dickson memunggah muatan kapal dan kemudian mengangkutnya dengan keretapi ke Sungai Ujong. Pembangunan yang pesat, aktiviti pelabuhan yang sibuk dan bertambahnya jumlah pengangkutan barang-barang dari dalam dan luar Port Dickson, satu pusat pemeriksaan Kastam dan Imigresen ditubuhkan pada tahun 1894.

Kejayaan pelabuhan ini juga membawa kepada beberapa pembaharuan kepada pusat bandarnya. Bangunan-bangunan kedai papan telah dirobohkan dan digantikan dengan bangunan kedai batu. Kira-kira 45 bangunan kedai batu telah didirikan sementara permohonan juga diterima untuk tapak tanah kosong disepanjang pantai.

Perkembangan yang membawa perubahan Port Dickson itu menarik perhatian ramai yang membuat keputusan untuk menjadikan Port Dickson tempat penginapan atau dagangan mereka yang mengakibatkan pertambahan penduduk.

Kegiatan ekonomi yang dijalankan terus pesat berkembang luas sejajar dengan pertumbuhan penduduk di Port Dickson. Kemunculan gergasi minyak tidak boleh diperkecilkan. Dalam tahun 1901, Syarikat Shell Petrol and Trading telah mendirikan kilang penapisan minyak bagi menampung pengeluaran sebanyak 700 liter tan minyak. Kesan pembangunan yang sangat pesat itu telah menjadikan Port Dickson semakin terkenal.

Menjelang tahun 1902, Port Dickson telah pun dikenali ramai kerana stesen kereta apinya di Selatan Semenanjung serta kemunculannya sebagai pelabuhan terunggul. Sistem pengangkutan melalui kereta api dan jalan raya telah mendatangkan faedah kepada syarikat multinasional seperti Shell.

Pada tahun 1933, Port Dickson telah dipilih sebagai penempatan kemah Angkatan Tentera Melayu dan juga Maktab Tentera Perseketuan. Dalam tahun 1964, Esso pula membuka kilang penapisannya dan pada tahun 1965, Port Dickson telah dijadikan pusat menjana elektrik negara dengan terdirinya Stesen Janalektrik Tuanku Jaafar. Stesen ini telah membekalkan keperluan elektrik kepada hampir separuh Semenanjung Malaysia ketika itu.

Majlis Daerah Port Dickson setelah penubuhannya pada 1 Disember 1979 memulakan pentadbiran dengan perbelanjaan permulaan sebanyak RM 2.1 juta.Di bawah pentadbiran Majlis Daerah yang cekap, Port Dickson terus membangun dan dimajukan dengan pesat. Dari struktur politik, Port Dickson termasuk dalam kerusi Parlimen Teluk Kemang dengan empat kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Linggi, Pasir Panjang, Lukut dan Si Rusa.

Hari ini, Port Dickson berdiri megah menghadapi pelbagai pembangunan dinamik yang bermula dengan kenaikan taraf dari Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran Port Dickson, sealiran dengan aspirasi Kerajaan untuk mengubah Port Dickson kepada satu perbandaran moden ditepi laut yang menyeronokkan dan disukai ramai.

                                                                                         The above article is extracted by courtesy from http://www.mppd.gov.my